mcmc
Pelancongan & Tempat Bersejarah

Pelancongan & Tempat Bersejarah

HUTAN LIPUR SERTING ULU, JEMPOL, NEGERI SEMBILAN

Hutan Lipur Serting Ulu, adalah satu daripada pelbagai tempat menarik di daerah Jempol, Negeri Sembilan yang wajar dilawati. Ia terletak di bahagian Utara kira-kira 20 kilometer dari Bahau dan kawasan ini mula dimajukan pada 1986.

Antara aktiviti yang dilakukan oleh pengunjung di Hutan Lipur Serting Ulu ini adalah salah satunya rekreasi. Para pengunjung akan berasa tenang dengan kehijauan alam sekitar sambil dapat menyejukkan badan dengan air jeram. Selain itu, pengunjung juga disajikan dengan udara yang segar tanpa pencemaran.

Kepada sang pencinta alam, Hutan Lipur Serting Ulu adalah salah satu tempat yang anda wajib lawati.

 

TERATAK ZA’BA

Teratak Za’ba telah berjaya disiapkan dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj. Mohd Isa bin Dato’ Hj. Abdul Samad pada 5 Februari 2001. Bermula pada tarikh itu Teratak Za’ba telah dibuka kepada orang ramai sebagai salah satu produk dan kawasan pelancongan yang berunsurkan pendidikan di Negeri Sembilan.

Bahan utama bangunan ini diperbuat daripada Kayu Cengkal (penak) dan reka bentuknya masih bercirikan Rumah Tradisional Negeri Sembilan.

Antara ciri-ciri pertukangan melayu di bangunan ini ialah Tupai-tupai, Tabir Layar, Kisi-kisi, Anjung Serambi, pelantar dan penyambungannya menggunakan tanggam dan pasak.

Antara pameran yang terdapat di Teratak Za’ba ialah:

Bibliografi

Di ruangan ini pelawat boleh membaca sendiri perjalanan hidup Za’ba dengan lebih terperinci mengikut susunan tahun. Dari beliau baru dilahirkan, memasuki alam persekolahan, pekerjaan hinggalah beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

Peribadi

Ruang ini memaparkan ruang peribadi dan minat Za’ba dalam bidang penulisan dan seni. Beliau banyak menghasilkan buku-buku bacaan ketika bertugas sebagai penterjemah di pejabat karang-mengarang MPSI, Tanjung Malim. Mesin taip yang ada adalah contoh mesin taip yang digunakan semasa bertugas di sana. Peti nyanyi yang ada menunjukkan bahawa Za’ba amat meminati seni.

Pakaian

Sudut ini memaparkan pakaian-pakaian pada zaman Pendeta Za’ba dahulu. Dari segi berpakaian, Za’ba merupakan seorang yang ringkas. Beliau lebih memandang kepada keselesaan, tetapi bagi beliau berpakaian mempunyai dua aspek penting. Yang pertama ialah pakaian di kepala dan kedua ialah pakaian di badan.

Sudut Umum

Ruangan ini mempamerkan barangan antik dan dijadikan contoh barangan yang digunakan oleh Pendeta Za’ba di mana barang-barang ini adalah barangan antik yang wujud sezaman dengan Za’ba. Antaranya adalah jam dinding, jam tangan berkunci, mesin taip, almari kayu, cermin mata dan tongkat. Semua barang-barang ini masih boleh digunakan sehingga ke hari ini.