mcmc
Kisah Kejayaan

KEUSAHAWANAN – Puan Noor Ain

Usahawan Kecil Popia Simpul Kasih

Nama    : Puan Noor Ain binti Mohd Rais

Umur    : 31 tahun

Ahli       : 2016

 

Latar belakang

Pn. Noor Ain merupakan seorang suri rumah yang bercita-cita tinggi untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Beliau merupakan anak pertama daripada empat orang adik-beradik. Sebelum ini, beliau hanya menjual kuih popia simpul secara kecil-kecilan dan atas permintaan penduduk kampungnya sahaja. Di dalam arus ekonomi yang kian mencabar ini, pelbagai maklumat tambahan perlu dicari bagi meningkatkan pendapatan bagi meringankan beban suaminya. Oleh hal yang demikian, beliau perlu meluaskan pasaran bagi mengekalkan dan meningkatkan perniagaannya. Selain itu, pengetahauan beliau juga terhad untuk membuat iklan secara online bagi mempromosikan kuih popia simpul. Antaranya iklan melalui aplikasi facebook dan Whatsap. Justeru, pengetahuan ICT sangat perlu bagi memudahkan beliau meluaskan pasaran dan berurusan dengan pelanggannya.

 

Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI

Sebelum menghadiri kelas dan latihan ICT di Pusat Internet Kampung Bayai Lama, beliau terpaksa pergi ke cyber café yang terletak di pekan Batu Kikir. Jarak pekan tersebut dari rumah beliau adalah sejauh 18 kilometer. Ditambah pula dengan ketiadaan perkhidmatan pengangkutan awam telah menyukarkan beliau untuk pergi ke pekan tersebut. Terdapat dua buah cyber café sahaja di pekan tersebut dan beliau juga terpaksa bersaing untuk menggunakan komputer yang disediakan bersama-sama pengguna yang lain kerana jumlah komputer yang disediakan adalah terhad. Selain itu, suasana cyber café tersebut sangat bising dan diselubungi asap rokok dan amat tidak sesuai untuk belajar. Selain itu, petugas di cyber café tersebut juga tidak mesra untuk membantu permasalahan yang dihadapi oleh pengguna. Tambahan pula, cas perkhidmatan yang dikenakan juga sangat mahal dan keterlaluan. Hal ini amat menyukarkan beliau terutamanya untuk membuat kertas kerja. Beliau juga terpaksa menghadapi semua itu sebelum adanya Pusat Internet di Kampung Bayai Lama ini.

 

Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI

Dengan penubuhan Pusat Internet Kampung Bayai Lama, segalanya berubah. Selepas mendaftar sebagai ahli, beliau dapat menggunakan perkhidmatan internet secara percuma 1/2 jam sehari dan RM 1 pada jam-jam berikutnya telah memberikan sinar baru kepada beliau. Situasi ini tidak lagi membebankan beliau kerana cas perkhidmatan yang berpatutan dapat menjimatkan wang. Beliau juga telah menghadiri pelbagai kelas dan latihan ICT yang telah dijalankan di Pusat Internet ini. Banyak pengetahuan baru yang dapat beliau aplikasikan dalam kehidupan sehariannya terutamanya dalam beliau menyiapkan kertas kerja dan bantuan daripada pelbagai jabatan kerajaan. Beliau telah mempelajari Microsoft Office word, Power Point dan Excel. Selain itu, beliau juga telah diajar bagaimana ingin memuat turun (download) borang-borang yang diperlukan. Beliau juga telah diajar untuk menjual dan mempromosikaan perniagaan di media sosial dengan cara yang betul. Selain itu, beliau juga turut diperkenalkan dengan aplikasi Dashboard di mana beliau dapat mengetahui pelbagai aplikasi dan mengaplikasikannya dengan cara yang betul. Situasi ini telah memudahkan beliau untuk membuat pengumuman penting di Mykomuniti dan mempromosikan produknya di Myshop dengan menggunakan aplikasi tersebut. Selain itu, petugas di PI ini sangat membantu dan membimbing beliau semasa menerima latihan di PI. Kini, pendapatan beliau turut meninggkat dari RM 50.00 hingga ke RM 800.00 sebulan. Semuanya berubah dengan adanya pengetahuan ICT kerana maklumat dapat diakses hanya dihujung jari. Jelaslah dengan adanya pusat internet ini dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.