mcmc
Kisah Kejayaan

KEUSAHAWANAN – Encik Zamrud

 

Usahawan Ternakan Kambing & Lembu

 

Nama    : Encik Zamrud bin Alias

Umur    : 52 tahun

Ahli       : 2017

 

Latar belakang

Encik Zamrud Bin Alias merupakan seorang usahawan yang menjalankan perniagaan di dalam bidang penternakan kambing dan perkhidmatan katering untuk majlis aqiqah sejak 10 tahun dahulu. Beliau giat mengusahakan ternakan kambing di kawasan rumah beliau. Beliau kini berumur 52 tahun dan sudah berkahwin serta mempunyai lima orang anak. Isteri beliau merupakan seorang suri rumah tangga. Kesemua anak beliau masih belajar dan dengan itu beliau giat mencari rezeki tambahan iaitu dengan membuat katering untuk majlis aqiqah. Hal ini kerana permintaan daripada pelanggannya yang membeli kambing menginginkan kambing yang dipilih sendiri dan cukup umur untuk dimasak bagi diaqiqahkan. Oleh itu, beliau perlu mencari pasaran bagi mengekalkan dan meningkatkan perniagaannya. Di dalam arus ekonomi yang kian mencabar ini, pelbagai maklumat tambahan perlu dicari bagi meningkatkan pendapatannya. Selain itu, beliau juga banyak membuat kertas kerja dan mengisi borang secara online bagi memohon bantuan untuk ternakanya terutamanya kepada Jabatan Veterinar dan Jabatan Pertanian Malaysia. Justeru, pengetahuan ICT sangat perlu bagi memudahkan beliau berurusan dengan jabatan kerajaan.

 

Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI

Sebelum menghadiri kelas dan latihan ICT di Pusat Internet Kampung Bayai Lama, beliau terpaksa pergi ke cyber café yang terletak di pekan Batu Kikir. Jarak pekan tersebut dari rumah beliau adalah sejauh 18 kilometer. Ditambah pula dengan ketiadaan perkhidmatan pengangkutan awam telah menyukarkan beliau untuk pergi ke pekan tersebut. Terdapat dua buah cyber café sahaja di pekan tersebut dan beliau juga terpaksa bersaing untuk menggunakan komputer yang disediakan bersama-sama pengguna yang lain kerana jumlah komputer yang disediakan adalah terhad. Selain itu, suasana cyber café tersebut sangat bising dan diselubungi asap rokok dan amat tidak sesuai untuk belajar. Selain itu, petugas di cyber café tersebut juga tidak mesra untuk membantu permasalahan yang dihadapi oleh pengguna. Tambahan pula, cas perkhidmatan yang dikenakan juga sangat mahal dan keterlaluan. Hal ini amat menyukarkan beliau terutamanya untuk membuat kertas kerja. Beliau juga terpaksa menghadapi semua itu sebelum adanya Pusat Internet di Kampung Bayai Lama ini.

 

Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI

Dengan penubuhan Pusat Internet Kampung Bayai Lama, segalanya berubah. Selepas mendaftar sebagai ahli, beliau dapat menggunakan perkhidmatan internet secara percuma 1/2 jam sehari dan RM 1 pada jam-jam berikutnya telah memberikan sinar baru kepada beliau. Situasi ini tidak lagi membebankan beliau kerana cas perkhidmatan yang berpatutan dapat menjimatkan wang. Beliau juga telah menghadiri pelbagai kelas dan latihan ICT yang telah dijalankan di Pusat Internet ini. Banyak pengetahuan baru yang dapat beliau aplikasikan dalam kehidupan sehariannya terutamanya dalam beliau menyiapkan kertas kerja dan bantuan daripada Jabatan Pertanian. Beliau telah mempelajari Microsoft Office word, Power Point dan Excel. Selain itu, beliau juga telah diajar bagaimana ingin memuat turun (download) borang-borang yang diperlukan. Beliau juga telah diajar untuk menjual dan mempromosikaan perniagaan di media sosial dengan cara yang betul. Selain itu, beliau juga turut diperkenalkan dengan aplikasi Dashboard di mana beliau dapat mengetahui pelbagai aplikasi dan mengaplikasikannya dengan cara yang betul. Situasi ini telah memudahkan beliau untuk membuat pengumuman penting selain menggunakan telefon bimbit. Selain itu, petugas di PI ini sangat membantu dan membimbing beliau semasa menerima latihan di PI. Kini, pendapatan beliau turut meninggkat dari RM 1000.00 hingga ke RM 5000.00 sebulan. Semuanya berubah dengan adanya pengetahuan ICT kerana maklumat dapat diakses hanya dihujung jari. Jelaslah dengan adanya pusat internet ini dapat membantu meningkatkan pendapatan usahawan tempatan.