mcmc
Kisah Kejayaan

CELIK IT – Puan Siti Aisyah

Menaip, Menghantar Emel

Nama    : Puan Siti Aishah binti Karim

Umur    : 50 tahun

Ahli       : 2016

 

Latar belakang

Puan Siti Aishah Binti Karim merupkan seorang guru. Beliau mengajar di Tabika Kemas (F) Raja Alias 2. Beliau kini berumur 50 tahun dan sudah berkahwin serta mempunyai empat orang anak. Suami beliau merupakan seorang pesara tentera dan tidak bekerja atas faktor masalah kesihatan. Kini, beliau merupakan seorang guru dan pada yang sama menjadi usahawan yang menjalankan perniagaan menjual minuman kordial. Produk utama perniagaan beliau ialah Kordial Habitus Sauda. Beliau giat mengusahakan penjualan tersebut di rumahnya sendiri. Di dalam arus ekonomi yang kian mencabar ini, pelbagai maklumat tambahan perlu dicari bagi meningkatkan pendapatannya. Selain itu, beliau juga perlu banyak membuat pengiklanan secara atas talian bagi memperluaskan jualannya. Justeru itu, pengetahuan ICT sangat perlu bagi memudahkan beliau mempromosikan produknya.

 

Sebelum penggunaan ICT / Penglibatan PI

Sebelum menghadiri kelas dan latihan ICT di Pusat Internet Kampung Bayai Lama, beliau terpaksa pergi ke cyber café yang terletak di pekan Batu Kikir. Jarak pekan tersebut dari rumah beliau adalah sejauh 18 kilometer. Ditambah pula dengan ketiadaan perkhidmatan pengangkutan awam telah menyukarkan beliau untuk pergi ke pekan tersebut. Terdapat dua buah cyber café sahaja di pekan tersebut dan beliau juga terpaksa bersaing untuk menggunakan komputer yang disediakan bersama-sama pengguna yang lain kerana jumlah komputer yang disediakan adalah terhad. Selain itu, suasana cyber café tersebut sangat bising dan diselubungi asap rokok dan amat tidak sesuai untuk belajar. Selain itu, petugas di cyber café tersebut juga tidak mesra untuk membantu permasalahan yang dihadapi oleh pengguna. Tambahan pula, cas perkhidmatan yang dikenakan juga sangat mahal dan keterlaluan. Hal ini amat menyukarkan beliau terutamanya untuk membuat kertas kerja. Beliau juga terpaksa menghadapi semua itu sebelum adanya Pusat Internet di Kampung Bayai Lama ini.

 

Selepas penggunaan ICT / Penglibatan PI

Dengan penubuhan Pusat Internet Kampung Bayai Lama, segalanya berubah. Selepas mendaftar sebagai ahli, beliau dapat menggunakan perkhidmatan internet secara percuma 1/2 jam sehari dan RM 1 pada jam-jam berikutnya telah memberikan sinar baru kepada beliau. Situasi ini tidak lagi membebankan beliau kerana cas perkhidmatan yang berpatutan dapat menjimatkan wang. Beliau juga telah menghadiri pelbagai kelas dan latihan ICT yang telah dijalankan di Pusat Internet ini. Banyak pengetahuan baru yang dapat beliau aplikasikan dalam kehidupan sehariannya terutamanya dalam beliau mengiklankan produk. Beliau telah mempelajari Microsoft Office word, Power Point dan Excel serta mengaplikasi media sosial. Selain itu, beliau juga telah diajar bagaimana ingin memuat turun (download) borang-borang yang diperlukan sekiranya terdapat kursus-kursus pemantapan perniagaan. Beliau juga telah diajar untuk menjual dan mempromosikaan perniagaan di media sosial dengan cara yang betul. Selain itu, beliau juga turut diperkenalkan dengan aplikasi Dashboard di mana beliau dapat mengetahui pelbagai aplikasi dan mengaplikasikannya dengan cara yang betul. Situasi ini telah memudahkan beliau untuk membuat pengiklanan selain menggunakan telefon bimbit. Selain itu, petugas di PI ini sangat membantu dan membimbing beliau semasa menerima latihan di PI. Kini, pendapatan sampingan beliau turut meninggkat dari RM 50.00 hingga ke RM 500.00 sebulan . Semuanya berubah dengan adanya pengetahuan ICT kerana maklumat dapat diakses hanya dihujung jari.